AO3 News

Post Header

Published:
2022-09-13 16:47:50 UTC
Original:
Five Things Francesca Coppa Said
Tags:

5 Perkara daripada Sukarelawan OTW

Pada bulan ini, OTW (Organisasi Karya-Karya Transformatif) genap berumur 15 tahun!

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ini, kami menerbitkan artikel 5 Perkara istimewa dengan salah seorang pengasas kami, Francesca Coppa. Dalam artikel ini, anda boleh membaca tentang detik-detik permulaan OTW, dan cabaran-cabaran yang telah dihadapi oleh organisasi ini sejak itu. Kami juga mengacarakan pertandingan trivia (terdapat dalam bahasa Inggeris sahaja) dan cabaran hasil karya peminat (fanwork). Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, sila ke versi bahasa Inggeris artikel ulang tahun OTW.


Pada lebih kurang setiap bulan OTW akan mengadakan sesi soal jawab (Q&A) dengan salah seorang sukarelawan mereka tentang pengalaman mereka sepanjang berada dalam organisasi ini. Artikel-artikel ini meluahkan pandangan peribadi setiap sukarelawan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan OTW atau membentuk polisi OTW.

Bagaimanakah apa yang anda telah lakukan sebagai seorang sukarelawan bersesuaian dengan apa yang dilakukan oleh OTW?

Saya telah memegang pelbagai jawatan dalam OTW sejak kami ditubuhkan pada tahun 2007. Sebelum kami menjadi sebuah organisasi, saya bertanggungjawab dalam mengurus peminat yang sangat, sangat ramai yang mengisytiharkan bahawa mereka sanggup menjadi sukarelawan. Kemudian saya menjadi sebahagian daripada Lembaga untuk lima tahun, di mana pada ketika itu saya berperanan dalam Komunikasi, membantu mempersiapkan Open Doors (Projek Pemeliharaan Bahan-Bahan Digital dan Bukan Digital), serta mengusahakan AJK Video dan Multimedia Peminat.

Saya terpilih untuk menjejak wireframe (rangka wayar) arkib pada ketika kami masih berusaha untuk mereka bentuk pengalaman pengguna untuk Archive of Our Own – AO3 (Arkib Milik Kita) dahulu; pengalaman tersebut menyeronokkan dan merupakan sesuatu di luar kepakaran saya! Kini saya bekerja lebih kepada bahagian akademik-guaman; saya menulis hujah (cth. saya terlibat dalam kes Dr. Seuss/Star Trek) dan memberikan keterangan apabila diperlukan oleh Penasihat Peguaman OTW, serta bekerja dengan Transformative Works and Cultures – TWC (Karya dan Kebudayaan Transformatif), meninjau dokumen dan membuat semakan. Komunikasi juga maklum bahawa saya ada jika perlu, dan saya masih menjalankan temu duga dan memberikan latar belakang fandom kepada jurnalis supaya mereka mendapat maklumat yang betul. (Tetapi kini sungguh ramai jurnalis sekarang merupakan peminat, yang sangat membantu proses ini!)

Apakah rupa minggu biasa untuk anda sebagai sukarelawan sekarang?

Kerja saya kini lebih bermusim berbanding mingguan. TWC terus-menerus mengeluarkan dua (kadang-kadang tiga!) isu ulasan sejawat yang sungguh menakjubkan; seperti yang saya selalu sebutkan, terdapat jurnal biayaan universiti dengan kakitangan berbayar yang tidak mampu mengekalkan rekod seperti itu! Kebanyakan jurnal hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum perlahan-lahan menghilang, namun kami masih bertahan teguh. Bahagian akademik-guaman sangat tertumpu kepada kerja yang bertarikh tutup; hal-hal yang timbul dan memerlukan tindak balas yang cepat. (Satu penghargaan tinggi kepada Penasihat Peguaman OTW yang hebat juga, yang memastikan kami mempunyai suara dalam isu-isu guaman yang melibatkan dan memberi impak.)

Apabila anda mengimbas kembali kepada permulaan OTW, apakah yang paling mengejutkan anda tentang di mana OTW berada sekarang?

Bahawa terdapat sesetengah orang—bahkan mereka yang menyayangi kami—yang tidak sedar bahawa OTW ialah projek fannish, bukan bisnes! Bahawa ianya diusahakan dan dihasilkan oleh peminat-peminat yang sudah muak ditipu oleh kuasa pasaran! Agaknya ramai peminat sekarang sudah melupakan internet prakapitalisme; mereka menganggap bahawa semua yang berada di atas web itu bisnes. Dan model bukan keuntungan OTW mungkin mengelirukan sesetengah pihak—kerana fandom memang mengeluarkan wang untuk meneruskan kelangsungannya, cuma bukan semua orang membayar.

OTW mengumpul dana supaya mereka yang mampu membayar dapat menyokong mereka yang tidak mampu, mengikut model televisyen awam U.S. atau radio, dan semua orang boleh menggunakan projek-projek kami tanpa mengira sama ada mereka mampu atau tidak. Namun, saya merasakan ada orang yang benar-benar tidak percaya bahawa sesuatu yang sebesar dan begitu berjaya seperti ini (dan saya memaksudkan seluruh OTW, bukan sekadar AO3 tetapi juga TWC dan Penasihat Peguaman OTW, menulis ringkas amicus, mendapat pengakuan daripada kerajaan sebagai badan yang penting, dsb.) beroperasi di luar pasaran. Kami membayar untuk (dan sebenarnya memiliki) pelayan yang kami gunakan, tetapi semua tenaga kerja disumbangkan oleh fandom, dari Lembaga hingga ke pasukan sukarelawan. Dan sejujurnya, tenaga kerja inilah yang tidak ternilai, bukan sahaja dari segi ekonomi (walaupun sungguh “tidak ternilai” dari segi itu!) tetapi juga dari segi pelaburan bersemangat daripada fandom dalam organisasi ini. OTW merupakan sesuatu yang diangankan oleh orang ramai, dan diusahakan oleh orang ramai sehingga menjadi realiti; ia merupakan satu kapal yang dibina sendiri, dan ia hanya beroperasi kerana orang terus-menerus berusaha untuk mengusahakannya.

Apakah yang membuatkan anda paling bangga tentang pencapaian anda dalam OTW?

Ekspresi muka pelajar-pelajar saya apabila mereka mendapat tahu bahawa saya terlibat dalam pembentukan OTW. Tiba-tiba, saya seorang bintang rock! Mereka semua mempunyai akaun AO3. Saya masih boleh mengingat suatu masa dahulu ketika mana saya risau kalau ada orang yang mendapat tahu tentang penglibatan saya dalam fandom, dan kini kolej saya menguar-uarkannya sebagai ciri menarik: AO3 telah memenangi Anugerah Hugo!

Apakah perkara (atau perkara-perkara) yang paling mencabarkan tentang kemajuan OTW?

Aduhai. Cabaran sentiasa ada, dari dahulu sehingga kini. Apabila tenaga kerja disumbangkan, akan sentiasa wujudnya ketegangan antara apa yang perlu dilakukan dengan apa yang orang suka lakukan, ingin lakukan, atau mahir lakukan. Dan, tidak mengejutkan, ramai orang yang tidak mahu menjadi sukarela menggunakan kemahiran yang mereka gunakan dalam pekerjaan harian mereka; mereka ingin rehat daripada kerja! Namun, terdapat pepatah lama yang mengatakan bahawa sang pekebun bermain piano suka-suka, dan sang pemain piano berkebun. Saya telah lama merasakan bahawa fandom turut begitu, dan OTW pun begitu juga.

Saya seikhlas hati terharu dengan apa yang dilakukan oleh pasukan OTW, bahawa begitu ramai orang yang datang dan menjadikan semua benda kenyataan. Saya merasakan bahawa segala bakat dan kepekaan OTW sangatlah menakjubkan untuk sebuah organisasi yang mana tiada siapa dibayar. Dan fandom juga mengetahuinya—kami bekerja dengan lebih baik pada pendapat saya daripada kebanyakan, bahkan mungkin semua, laman untuk keuntungan, dan kami lebih profesional daripada kebanyakan laman bukan keuntungan. (Bukannya kami sempurna, masih jauh lagi, tetapi mereka yang mengeluh tidak menuding jari kepada mana-mana pihak yang lebih baik, kerana tidak ada pihak yang “lebih baik”: sesetengah masalah hanyalah merupakan masalah yang sukar.)

Dengan itu, kini, ketika mana kami sudah lebih berkembang, apabila saya berfikir tentang masa hadapan…pada pendapat saya, tahap seterusnya bagi kami bukanlah sekadar wang yang banyak “sedikit” daripada apa yang kami kumpul sekarang, kami maksudkan wang yang berlipat kali ganda, wang pada tahap yang berbeza. Ianya lebih kurang seperti (sesetengah daripada anda yang membaca ini mungkin akan memahami maksud saya) apabila seseorang bertanyakan kepada anda apa yang anda mahukan untuk hari jadi anda, dan anda menjawab, “Tiada apa-apa” tapi sebenarnya apa yang anda maksudkan ialah “Tiada apa-apa yang anda boleh berikan sebagai hadiah hari jadi—saya perlukan, macam, sofa. Saya perlukan cat baharu untuk rumah. Saya perlukan transmisi baharu untuk kereta saya.”

Dan sekalipun kami berjaya mengumpul duit sebanyak itu, maka—bak kata hikmat Cyndi Lauper yang agung, “Wang mengubah segala-galanya.” Jika kami mempunyai OTW dengan pekerja berbayar yang ramai kami boleh arahkan untuk lakukan semua benda, ia bukanlah organisasi yang sama. Jadi, entahlah, tetapi kami telah bekerja dengan sangat-sangat baik setakat ini mengikut apa-apa ukuran yang wajar (katanya dengan penuh bangga) dan tiada sebab untuk kami tidak terus bekerja dengan baik. Fandom memperbaharui, menjana semula, dan mencipta; itu tugas kami!

Apakah benda-benda fannish yang anda suka lakukan?

Sejujurnya, fandom bagi saya bukanlah sangat sesuatu yang saya lakukan, dan lebih kepada tempat saya menetap; saya memilih untuk menduduki tempat ini dan telah menetap untuk, berapa, empat puluh tahun? Ini bandar saya! Peminat-peminat ialah jiran saya, dan saya telah mengenali sesetengah daripada mereka untuk berdekad-dekad lamanya, dan kadang-kadang orang baharu berpindah masuk, dan orang yang lain juga berpindah keluar. Jadi, maksud saya—ya, benar, saya masih membaca dan menulis dan menguji beta hasil karya fiksyen (fic), dan saya menonton hasil karya video (fanvid) fandom yang menarik minat saya, tetapi saya juga berasa seperti penduduk tetap dalam fandom, berdudukan di beranda rumah, menyaksikan apa yang berlaku tanpa selalu perlu melakukannya sendiri. Saya mengambil minat, itu yang saya mahu katakan; saya nak tahu apa fandom-fandom besar, saya ingin memahami semua lawak jenaka, bertutur dalam bahasa fandom-fandom ini: saya ingin cam semua blorbos walaupun saya bukan fannish akan semua cerita itu.

Tapi saya rasa saya meletakkan sempadan terhadap TikTok. (Haih…mungkin saya pernah mengatakan begitu sebelum ini, jadi, tahulah: jangan berkata tak pernah.)


Kini, setelah sukarelawan kami menyatakan lima perkara tentang apa yang mereka lakukan, giliran anda pula untuk menanyakan satu perkara lagi! Jangan berasa segan untuk bertanya tentang kerja mereka di ruangan komen. Atau, jika anda mahu, anda boleh melihat artikel-artikel 5 Perkara terdahulu.


OTW adalah organisasi bukan keuntungan yang juga merupakan organisasi induk pelbagai projek termasuk AO3, Fanlore, Open Doors, TWC, and Bantuan Guaman OTW. Kami adalah organisasi yang dikendalikan oleh peminat, dan disokong sepenuhnya melalui derma serta kerja sukarelawan. Ketahui lebih lanjut mengenai kami di laman web OTW. Untuk mengetahui lebih tentang pasukan penerjemah sukarela kami yang telah menerjemahkan halaman ini, kunjungi laman Penterjemahan.